Kenapa Perlu Berpuasa???
Persoalan
seperti ini sering timbul, baik bagi mereka yang baru berpuasa untuk pertama
kalinya atau bagi mereka yang baru memeluk Islam ataupun bagi mereka yang dah
biasa berpuasa tetapi tidak memahami kenapa Allah swt mewajibkan kita berpuasa
di bulan ramadhan.
Sebab
kita diwajibkan berpuasa ialah :
1.
Untuk Meningkatkan Ketakwaan Kepada Allah s.w.t
Pengertian TAKWA menurut
Imam al-Ghazali rahimahullah, kalimah takwa yang terdapat di dalam al-Quran
al-Karim membawa tiga makna:
·
Pertama, bermakna takut, gerun atau ngeri (haybah).
Firman Allah Taala dalam
surah al baqarah ayat 281 yang bermaksud : Dan bertakwalah (takutilah) pada
suatu hari yang kamu akan dikembalikan kepada Allah...
·
Kedua, bermakna taat.
Firman Allah dalam surah
al Imran ayat 102 yang maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah
(taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benar takwa (taat)...
·
Ketiga, bermaksud, menyucikan hati
daripada dosa.
Dalam firman Allah dalam
surah an Nur ayat 52 yang mafhumnya: Dan barangsiapa taat kepada Allah dan
Rasul-Nya,serta takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka itulah
orang-orang yang beroleh kemenangan.
Mengikut
para ulamak: "Takwa itu ialah menyucikan hati daripada dosa sehingga
menguatkan azam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada
segala maksiat".
Imam
al-Ghazali membuat kesimpulan : Bahawa takwa itu ialah menjauhkan setiap apa
yang ditakuti akan membawa mudharat kepada agama.
Seumpama berpantang bagi orang yang menghidap penyakit. Ada pun berpantang
daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama pula
ialah "bertakwa". Oleh itu, Maksud Takwa ialah
ketundukan dan ketaatan terhadap perintah Allah dan menjauhi segala apa yang
ditegahNya
Contoh-contoh
TAKWA yang terdapat dalam surah Al Baqarah Ayat 177
·
Beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab suci dan nabi-nabi
·
Melaksanakan solat dengan sempurna dan ikhlas keranaNya
·
Bersedekah dengan Ikhlas
·
Bekerja untuk mencari rezeki bagi menyara anak isteri kerana Allah
·
Menepati janji
·
Sabar menghadapi sebarang musibah
Allah
s.w.t menyebut dalam firmanNya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, agar kamu
bertakwa" (Al-Baqarah : 183)
Oleh
itu, Puasa adalah suatu jalan untuk kita menahan diri daripada godaan dan
pujukan nafsu yang membuta lagi menyesatkan. Kerana itulah dalam Islam puasa
bukan hanya menahan diri dari lapar dan dahaga, malah perkara-perkara yang
membatalkan puasa itu sendiri.
2.
Melatih Diri Bersabar
Allah menjadikan puasa sebagai medan tarbiah dan ujian
buat hambaNya. Dalam bulan ini kesabaran kita akan teruji. Ujian utama itu adalah menahan
lapar dan dahaga.
Ujian lain adalah ujian mengawal nafsu dalam diri dan ujian untuk kita beribadah,
sama ada ibadah kita bertambah baik atau sama seperti bulan lain atau
lebih teruk daripada sebelum ramadhan, Nauzubillah.
Sabda Rasulullah s.a.w :
"Puasa itu adalah sebahagian daripada
sabar" (Hadith Hasan riwayat at-Tirmidzi)
Allah juga telah berfirman dalam surah
Az-Zumar ayat 10 yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang
bersabar sahaja yang akan disempurnakan
pahala mereka dengan
tidak terkira"
Dalam puasa, tahap
kesabaran itu terbahagi kepada 3 cabang :
Pertama adalah sabar dalam mengerjakan
ketaatan dan ibadah. Sabar ini bermaksud kita bersabar dalammelaksanakan
perintah Allah s.w.t seperti solat. Sudahlah diuji dengan lapar dan dahaga,
kita sabar pula dengan solat, kita berzikir, membaca Al-Quran dan melakukan
amalan sunat yang lainnnya. Kesabaran dalam ibadah adalah permulaan untuk
membentuk jiwa dan rohani yang kuat dan mantap.
Kedua ialah sabar dalam melakukan maksiat.
Ia bermaksud kita sedaya upaya menahan diri daripada melakukan maksiat ketika
berpuasa dengan tujuan nafsu yang degil itu dapat di didik dengan baik. Kerana
itulah Islam menggalakkan puasa, kerana puasa dapat mendidik nafsu.
Ketiga ialah sabar dalam ujian seperti
sabar dengan kesusahan sepanjang ramadhan. Jika kebiasaan dapat tidur nyenyak
dan cukup, tibanya ramadhan perlu bangun sahur di awal pagi, sebelum subuh
pula. Kebiasaannya di siang hari ada sarapan, makan tengah hari dan minum, di
bulan Ramadhan tidak dapat semua itu. Itulah kesabaran dalam ujian dari Allah.
3.
Membentuk Akhlak Mulia
Ramadhan adalah bulan untuk umat Islam
berlumba-lumba beribadah, membuat kebajikan dan kebaikan. Bukan untuk menunjuk
amal namun kerana Allah akan memberi ganjaran setiap amalan itu dilipatkan
berkali ganda daripada biasa.
Di samping itu juga sepanjang bulan Ramadhan, Islam
menekankan umat islam supaya rajin bersedekah, menahan sabar, berlaku lemah
lembut dan menjauhi sifat-sifat yang kasar kepada orang lain.
4.
Sihat Tubuh Badan
Kesihatan tubuh badan adalah nikmat yang sangat
besar buat manusia. Dengan berpuasa, sistem tubuh badan kita akan lebih terurus
dan teratur berbanding tidak berpuasa. Sistem tubuh ini melibatkan
keseluruhan tubuh sama ada darah, organ dan urat saraf serta yang lainnya.
Apabila kita berpuasa, perut akan menjadi kosong
dengan makanan. Mengosongkan perut bererti kita menyucikan perut daripada
bermacam jenis makanan yang kita makan sejak bulan syawal yang lepas. Kita
boleh umpamakannya seperti "membasuh" kotoran dalam perut dan
hasilnya darah menjadi bersih dan stabil tekanannya, sistem pencernaan lancar
dan sebagainya.
Hal ini telah disebut oleh Syaikh Najib al-Kailaani dalam kitabnya
berjudul Ash-Shaum wash-Shihhah (Puasa dan Kesihatan)
"Perhatikan pula bahawa denyutan jantung
yang normal ialah 70-80 kali seminit. Adapun ketika berpuasa, darah mengalir ke
rusuk akan berkurangan. Dengan demikian denyutannya akan menurun sehingga 60
kali seminit. Ini bererti ia memberi kesempatan kepada jantung untuk
beristirehat dan meringankan bebannya. Ini amat penting bagai seseorang berusia
lanjut (tua), penghidap penyakit hati dan penderita hipertensi (tekanan
darah tinggi)."
5. Mengurangkan Syahwat
Nafsu dan syahwat adalah sesuatu yang diberikan
Allah swt kepada manusia. Semua dari kita sedar akan bahayanya rangsangan
syahwat. Syahwat adalah salah satu senjata utama syaitan untuk membinasakan dan
menyesatkan anak Adam.
Daripada Ibnu Mas'ud r.a, Rasulullah s.a.w pernah
berpesan dalam sabdanya yang bermaksud:
"Wahai pemuda-pemudi sekalian! Barang
siapa diantara kamu mampu untuk berkahwin, maka hendaklah ia berkahwin kerana
perkahwinan itu lebih menundukkan pandangannya, lebih menjaga dan memelihara
kemaluannya (kehormatannya), dan barangsiapa yang tidak mampu berkahwin
hendaklah ia berpuasa kerana puasa baginya sebagai Khisha' (dapat menahan nafsu
syahwat)"
(Hadiht riwayat Bukhari :878, Muslim : 794,
at-Tirmizi : 1081, dan an-Nasaai : 3210)
6.
Mendisiplinkan Diri
Jika kita menghayati
Ramadhan dengan baik, Allah swt mendidik kita untuk "mendisiplinkan
diri". Bermula daripada sahur, kita dikehendaki bangun di awal pagi sedang
orang lain nyenyak diulit mimpi. Kemudian di siang harinya menahan diri dari makan
dan minum serta sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa dan mengurangkan
pahala puasa. Menjaga ibadah yang wajib dan menambah ibadah sunat yang sebelum
ini kita jarang sekali mendirikannya.
Hadirnya bulan Ramadhan
kita terpanggil untuk solat terawih, menderma, berzakat, memberi makanan,
menjaga pandangan, menjaga lidah dan sebagainya. Jika di bulan lain agak sukar
melatih diri, maka Allah swt hadirkan Ramadhan untuk kita mentarbiah dan
melatih diri menjadi lebih berdisiplin. Mudah-mudahan dengan "kem motivasi"
selama sebulan ini membuatkan kita terus berjaya di bulan selepas Ramadhan hinggalah
sampai ke Ramadhan yang akan datang.
7.
Menyatukan semua umat Islam
Ketibaan Ramadhan, umat Islam di seluruh dunia
serentak mengerjakan puasa dalam satu masa tertentu. Semua golongan Islam, sama
ada kaya atau miskin diwajibkan berpuasa. Semua terpaksa menempuh ujian
yang sama. Rasa lapar dan dahaga melahirkan keinsafan terhadap penderitaan
orang lain. Ini menimbulkan perasaan bertimbang rasa dan saling mengasihi
sesama umat Islam.
Kesatuan hati dan niat tulus ikhlas ini
dilakukan semata-mata untuk mengabdikan diri terhadap Allah akan
mendorong orang kaya untuk bersedekah, hidup secara sederhana dan ingin membantu
orang yang kurang mampu. Bagi orang miskin yang menerima bantuan akan
mengikis perasaan iri hati dan menghadirkan rasa kesyukuran terhadap
Allah.
Sebagai penutup, marilah sama-sama renungkan. Jika kita membeli barang dan berlaku kerosakan padanya, pasti kita akan merujuk ke pusat servis jenama berkenaan. Tak mungkin kita membeli kereta perodua dan menghantar servis ke proton. Maksudnya hanya yang mengeluarkan barang tersebut yang mengetahui kelemahan dan cara membaiki kerosakkannya. Begitulah kita sebagai hamba ciptaan Allah, hanya Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu perintah dan larangan yang diberikan kepada manusia. Ilmu manusia sedikit sekali. Semuanya itu ujian bagi kita. Ujian untuk menundukkan nafsu kita, ujian untuk berakhlak kepada Pencipta diri kita dan ujian untuk memberi apa yang kita punya.
Dalam satu hadis yang maksudnya :
Didirikan Islam itu atas lima sendi. Mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan mengakui bahawa nabi Muhamad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan haji ke baitullah. (hadis riwayat bukhari dan muslim)
Sesungguhnya puasa adalah ibadat yang sangat tinggi nilainya. Apabila kita berpuasa di bulan Ramadhan bererti kita telah melengkapkan diri kita sebagai seorang Islam. Sia-sialah jika kita mengaku beragama Islam, solat tapi tidak berpuasa.
Semoga Ramadhan tahun ini memberi kesedaran agar BERPUASA betul agar lulus ujian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan